Pernahkah anda tiba-tiba terlihat coretan cahaya yang terang dan bergerak sangat laju dalam masa yang sangat pantas di langit malam yang cerah? Coretan cahaya yang anda lihat itu sebenarnya adalah meteor. Meteor adalah coretan cahaya akibat dari meteoroid memasukki atmosfera Bumi. Disebabkan ia bergerak sangat laju dengan kelajuan diantara 11 hingga 74 kilometer sesaat menyebabkan ia mengalami geseran dengan udara seterusnya ia akan terbakar dan meruap. Kebanyakan meteoroid yang menyebabkan meteor adalah bersaiz kecil seperti ketulan batu jalan. Meteor biasanya terjadi pada lapisan mesosfera pada altitud diantara 75 km hingga 100 km. Bulan Ogos ini diramalkan akan berlaku meteor yang dinamakan meteor Perseid. Dijangkakan mulai hujung Julai hingga ke pertengahan Ogos kita boleh melihat banyak meteor pada langit malam dan kemuncak meteor Perseid ini ialah pada tarikh 12-13 Ogos. Tahun ini dikatakan sebagai tahun yang paling baik untuk mencerap meteor Perseid kerana pada tarikh tersebut langit tiada cahaya Bulan. Cahaya Bulan dan lampu yang terang menghalang kita melihat coretan cahaya meteor tersebut. Dari manakah asalnya meteor Perseid? Sebenarnya meteor Perseid ini berasal dari sisa peninggalan komet Swiff-Tuttle. Komet ini telah ditemui oleh dua orang ahli astronomi iaitu Lewis Swift dari Marathon, New York, USA pada 16 Julai 1862 dan Horace Parnell Tuttle dari Balai Cerap Kolej Harvard di Cambridge, Massachusetts, USA pada 19 Julai 1862. Kemudiannya komet ini dinamakan Swiff-Tuttle sempena nama dua orang penemu komet tersebut. Setiap tahun apabila Bumi melintasi bekas laluan orbit komet ini, sisa komet akan merempuh atmosfera Bumi dan menyebabkan meteor terjadi. Meteor ini dinamakan Perseid sempena buruj Perseus di mana di buruj inilah kita akan melihat meteor ini berpunca.
Pada kemucak meteor ini pada 12-13 Ogos dijangka kita boleh melihat bilangan meteor yang banyak diantara 60 hingga 100 meteor setiap jam. Bagaimanakah cara untuk melihatnya? Pilih tempat yang lapang dan gelap yang tiada pencemaran cahaya dari lampu jalan atau lampu limpah, semakin kurang pencemaran cahaya semakin jelas kita dapat melihat meteor. Boleh mulakan mencerap pada lewat malam sehingga subuh kerana dijangka meteor ini akan banyak dalam waktu dan tarikh tersebut. Untuk lebih selesa kita boleh mencerap sambil berbaring dan lihat di bahagian langit Utara. Mencerap meteor tidak memerlukan teleskop, cukup dengan mata kasar sahaja. Cerapan juga boleh dilakukan sehari sebelum atau selepas dari tarikh kemuncak tersebut. Sambil mencerap rekodkan berapa banyak bilangan meteor yang anda dapat lihat pada malam itu. Kita juga boleh merakamkan meteor ini dengan menggunakan kamera digital, jika ada kamera digital SLR lebih baik. Fokuskan kamera anda kepada infiniti dengan dedahan selama beberapa minit. Fenomena meteor yang banyak mencurah memasukki atmosfera dalam satu masa juga dinamakan sebagai hujan meteor. Pengalaman menyaksikan hujan meteor ini cukup menarik, oleh itu jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan fenomena ini. Walau bagaimanapun fenomena ini bergantung kepada keadaan cuaca dan kejenihan langit malam tersebut, jika cuaca mendung atau hujan atau berjerebu akan menghalang kita untuk melihat fenomena ini.
Written by Kassim Bahali |
Monday, 16 August 2010 |
No comments:
Post a Comment